Berdiri ketika Sambutan Maulid Nabi
Adapun amalan berdiri pada Maulid Nabi صلى الله عليه وسلم , iaitu
ketika mana disebutkan tentang keputeraan Nabi صلى الله عليه وسلم ke
dunia, maka sesungguhnya sebahagian orang menyangka bahawa perbuatan
adalah salah, tidak mempunyai asal (dalil) disisi ahli ilmu.
Tidak ternafi juga salah faham ini juga ada pada mereka yang
menyambutnya, tetapi di kalangan mereka yang benar-benar jahil yang
tidak boleh kita ambil kata-kata mereka. Salah faham ini ialah, berdiri
ketika sambutan ini sebagai menyambut kedatangan baginda Nabi صلى الله
عليه وسلم dengan jasad baginda yang mulia. Antara salah faham yang lebih
teruk lagi ialah kononnya wangian dan air yang diletakkan di
tengah-tengah majlis adalah minuman yang disediakan untuk baginda صلى
الله عليه وسلم.
Sangkaan-sangkaan begini tidak patut ada pada fikiran kita ummat
Islam, dan kita berlepas diri dari sangkaan buruk begini, karena hal ini
dikira biadab terhadap Rasulullah. I’tiqad sebegini tidak timbul
melainkan dari orang mulhid atau pendusta. Persoalan di alam barzakh
tidak diketahui oleh sesiapa pun melainkan Allah.
Malah kita meyakini bahawa Rasulullah صلى الله عليه وسلم lebih
sempurna dan mulia dari sangkaan kononnya baginda keluar dari kubur
dengan jasad baginda yang mulia dan datang ke majlis pada waktu-waktu
tertentu. Saya mengata hal ini adalah dusta serta biadab yang terbit
dari orang yang benci, dengki atau atau seorang yang bodoh sombong.
Namun begitu kita memang beriktiqad bahawa baginda صلى الله عليه وسلم
hidup dalam kehidupan barzakh yang sempurna yang sesuai dengan kedudukan
baginda.
Dan sesuai dengan hidup yang sempurna tersebut roh baginda boleh
pergi ke merata tempat di alam malakut Allah, dan boleh menghadiri
majlis-majlis kebajikan dan acara-acara yang dipenuhi cahaya Allah dan
ilmu pengetahuan. Begitu jugalah arwah para mukminin yang sebenar.yang
mengikuti baginda.
Imam Malik rahimahullahu Ta’ala pernah berkata :
بَلَغَنِيْ أَنَّ الرُّوْحَ مُرْسَلَةٌ تَذْهَبُ حَيْثُ شَاءَتْ
Artinya: Telah sampai kepadaku khabar bahawa roh dapat pergi ke mana-mana dihendaki.
Salman al-Farisi radhiyallahu ‘anhu pula berkata:
أَرْوَاحُ المُؤْمِنِيْنَ فِيْ بَرْزَخٍ مِنَ الأَرْضِ تَذْهَبُ حَيْثُ شَاءَتْ
Artinya: Roh-roh orang mukmin di alam barzakh, pergi ke mana dikehendaki. (Sebagaimana tersebut didalam kitab ar-Ruh oleh Ibn Qayyim, mukasurat 144)
Setelah engkau telah mengetahui semuanya itu, maka ketahuilah bahawa
berdiri ketika sambutan maulid bukanlah wajib mahupun sunnah, dan tidak
betul kita beriktiqad sedemikian. Malahan ia adalah satu harakat
(gerakan) yang menggambarkan kesukaan dan kegembiraan manusia ketika
mana disebutkan bahawa baginda صلى الله عليه وسلم lahir ke dunia, para
pendengar dapat menggambarkan bahawa seluruh alam bergembira dan seronok
dengan nikmat ini, maka mereka pun berdiri bagi menunjukkan kegembiraan
ini.
Oleh itu, ia adalah masalah kebiasaan semata-mata bukan keagamaan,
dan ia bukanlah ibadah, syariah atau sunnah tetapi apa yang dilakukan
oleh kebiasaan manusia. Pendapat ulama tentang berdiri ketika membaca
maulid Walaupun kita sebutkan sebelum ini bahawa berdiri ketika
disebutkan keputeraan Nabi صلى الله عليه وسلم adalah soal kebiasaan
manusia, bukanlah suatu ibadah sunnah atau wajib, terdapat juga
sebahagian ulama yang memandang baik perkara ini.
Shaikh Ja’afar al-Barzanji rahimahullahu Ta’ala, yang merupakan salah seorang penyusun kitab maulid, ada mengatakan :
وقد استحسن القيام عند ذكر مولده الشريف أئمةٌ ذوو رواية ورويّه ، فطوبى لمن كان تعظيمه صلّى الله عليه وسلّم غاية مرامه ومرماه
Artinya: Adalah dipandang baik dikalangan ulama yang mempunyai riwayat dan penelitian, perbuatan berdiri ketika kisah keputeraan baginda صلى الله عليه وسلم disebutkan. Maka beruntunglah sesiapa yang melakukannya dengan tujuan untuk membesarkan Nabi صلى الله عليه وسلم.
Kami maksudkan ‘baik’ disini ialah karena harusnya hal itu dari segi
zatnya, asalnya dan puji-pujian bagi Nabi صلى الله عليه وسلم yang
dituntut dari mula kebangkitan itu sehingga kesudahannya. Maksud ini
tidak boleh dibandingkan dengan makna yang diistilahkan pada usul fiqh.
Penuntut-penuntut ilmu yang kurang pengetahuannya pun tahu bahawa
isitilah استحسن (memandang baik) itu digunakan pada perkara-perkara yang
biasa difaham oleh segolongan manusia, seperti misalnya mereka berkata,
“Saya dapati kitab ini baik. Perkara ini dipandang baik. Orang-orang
telah menyukai perjalanan tersebut.” Maksud mereka ialah pandangan biasa
dari segi bahasa. Jika tidak demikian, nescaya semua perkara-perkara
itu berasal dari segi syara’, tetapi orang yang beraqal dan yang
mengetahui ilmu usul fiqh tidak berkata begitu.
Beberapa Alasan Untuk Memandang Baik Berdiri Semasa Membaca Maulid
1) Kebiasaan berdiri dalam memperingati maulid pada detik-detik kisah
keputeraan Rasulullah صلى الله عليه وسلم disebutkan, dilakukan oleh
kaum Muslimin di perlbagai negeri, kawasan dan daerah. Para ulama di
timur dan di barat juga memandangnya sebagai kebiasaan yang baik.
Tujuannya tiada lain dari memuliakan, membesarkan pihak yang diperingati
maulidnya, iaitu junjungan Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم. Dan apa
yang dipandang baik oleh muslimin, maka ia adalah baik di sisi Allah dan
apa yang dipandang keji maka ia adalah keji di sisi Allah seperti mana
yang kita telah sebutkan sebelum ini dalam hadis mauquf daripada Ibn
Mas’ud radhiyallahu ‘anhu.
2) Berdiri hormat bagi menghormati ahlul fadhl adalah disyariatkan
dan dalil-dalil yang mentsabitkannya banyak terdapat didalam sunnah.
Malah Imam Nawawi rahimahullah Ta’ala telah menyusun bab ini dalam satu
bahagian tersendiri dan ia diperkuatkan lagi oleh Imam Ibn Hajar
rahimahullah Ta’ala yang telah menyanggah kata-kata mereka yang menolak
(iaitu Ibnu al-Haj) pendapat Imam Nawawi dalam perkara ini dalam satu
kitab yang lain yang bernama: رفع الملام عن القائل باستحسان القيام
(3 Diriwayatkan dalam sebuah hadits yang muttafaq ‘alaih bahawa baginda صلى الله عليه وسلم menyeru kepada kaum Ansar :
قُوْمُوْا إِلىَ سَيِّدِكُمْ
Artinya: “Berdirilah bagi penghulu kalian”.
Perintah berdiri ini adalah sebagai menghormati dan mengagungkan
Sayyidina Sa’ad radhiyallahu ‘anhu, dan bukanlah karena beliau sedang
sakit ketika itu.
Ini karena jika perintah ini hanya disebabkan Sayyidina Sa’ad sedang
sakit, tentulah baginda akan memerintah : قوموا إلى مريضكم “berdirilah
bagi menyambut orang yang sedang sakit di kalangan kalian”, dan
bukannya, berdirilah bagi penghulu kalian.(10)
4) Antara petunjuk Nabi صلى الله عليه وسلم adalah baginda selalu
berdiri sebagai menghormati dan menyambut sesiapa yang masuk berjumpa
baginda. Ini seperti mana yang baginda lakukan sendiri ketika mana
baginda berdiri menyambut puteri baginda Sayyidah Fathimah رضي الله
عنها, dan menyatakan penghormatan baginda untuk beliau. Begitu juga
perintah kepada kaum Ansar untuk berdiri menyambut penghulu mereka. Maka
ini menunjukkan pensyariatan berdiri, dan baginda صلى الله عليه وسلم
adalah yang paling berhak kita agungkan dari para sahabat tadi.(11)
5) Mungkin dikatakan bahawa penghormatan tersebut boleh jika pada
masa hayat dan kehadiran baginda صلى الله عليه وسلم, dan ketika sambutan
maulid ini baginda tidak hadir. Jawapannya adalah, para pembaca maulid
yang mulia menggambarkan di dalam jiwa mereka hadirnya baginda صلى الله
عليه وسلم.
Dan gambaran ini merupakan suatu perkara yang terpuji dan dituntut,
malah mesti dilakukan setiap waktu dalam minda setiap muslim yang
benar-benar beriman, bagi menyempurnakan ketaatan dan menambahkan
kecintaan kepada baginda صلى الله عليه وسلم. Mereka berdiri sebagai
tanda hormat dan mulia dengan gambaran yang ada pada jiwa mereka
berkenaan Rasul yang agung ini, sambil merasakan kemuliaan dan keagungan
kedudukan baginda. Dan ini merupakan suatu perkara yang biasa, seperti
mana disebutkan sebelum ini. Malah menghadirkan demikian itu adalah
suatu yang mesti bagi menambahkan rasa penghormatan kepada baginda صلى
الله عليه وسلم.
____________________________________________________________
Catatan kaki:-
(10) Selain itu tentulah tidak diperintahkan semua orang berdiri bagi
menyambutnya, karena cukuplah sebahagian sahaja yang berdiri menyambut
orang yang sakit. Di sini jelas bahawa perintah berdiri bagi memuliakan
seseorang adalah disyariatkan.]
(11) Terdapat beberapa hadits lagi yang menunjukkan bahawa baginda berdiri karena menyambut seseorang antaranya:-
قالت أم المؤمنين عائشة رضي الله عنها: قدم زيد بن حارثة المدينة والنبي
صلى الله عليه وسلم في بيتي، فقرع الباب فقام إليه فاعتنقه وقبله
Artinya ( lebihkurang): Ummul Mu’minin ‘Aisyah berkata: Ketika Zaid
bin Haritsah tiba ke Madinah, dan ketika itu baginda sedang berada
dirumahku. Maka Zaid mengetuk pintu rumahku. Maka Nabi صلى الله عليه
وسلم berdiri menyambut kedatangannya, lalu memeluk dan menciumnya.
أخرج أبو داود عن أبي هريرة رضي الله عنه قال: كان والنبي صلى الله عليه وسلم يحدثنا فإذا قام قمنا إليه حتى نراه قد دخل
Artinya ( lebihkurang): Dikeluarkan oleh Abu Daud dari Abu Hurairah
رضي الله عنه , katanya: Adalah Rasulullah صلى الله عليه وسلم berbicara
dengan kami. Apabila baginda berdiri, maka kamipun sehingga melihat
baginda telah pun masuk (ke dalam rumahnya).
و أخرج أبو داود في سننه: أن النبي صلى الله عليه وسلم كان جالسا يوما
فأقبل أبوه من الرضاعة فوضع له بعض ثوبه فجلس عليه، ثم أقبلت أمه من
الرضاعة فوضع لها شق ثوبه من الجانب الآخر، ثم أقبل أخوه من الرضاعة فقام
فأجلسه بين يديه
Artinya ( lebihkurang): Dikeluarkan oleh Abu Daud di dalam sunannya
bahawa pada suatu hari Nabi صلى الله عليه وسلم sedang duduk. Lalu datang
ayah susuan baginda. Baginda membentangkan kain baginda untuknya, dan
dia (ayah susuan baginda) duduk diatasnya. Kemudian datang pula ibu
susuan baginda. Baginda membentangkan bahagian dari kain baginda, dan
dia (ibu susuan baginda) duduk diatasnya. Setelah itu datang saudara
susuan baginda, maka baginda berdiri mempersilakan duduk bersama
baginda.
0 komentar:
Posting Komentar