1. Mengambil wudu
2. Mendirikan solat sunat dua rakaat.
3. Membaca doa tawassul ini;
اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ وَأَتَوَجَّهُ إِلَيْكَ بِنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ نَبِيِّ الرَّحْمَةِ. يَا مُحَمَّدُ إِنِّي أَتَوَجَّهُ بِكَ إِلَى رَبِّي عَزَّ وَجَلَّ لِتُقْضَى لِي حَاجَتِي
Maknanya: “Wahai
Allah, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu dan bertawajjuh kepada-Mu
dengan Nabi kami Muhammad nabi rahmat. Wahai Muhammad, aku bertawajjuh
denganmu kepada Tuhanku 'azza wa-jalla agar hajatku ditunaikan”.
4. Menyatakan hajat.
Dalil Kaifiat Solat Hajat Dengan Tawassul Nabawi:
Amalan
solat hajat dengan tawassul nabawi ini berdasarkan hadis yang
diriwayatkan oleh al-Imam al-Tabrani dalam dua kitab beliau iaitu al-Mu'jamul-Kabir[1] dan al-Mu'jamul-Saghir[2]
daripada 'Uthman ibn Hunayf bahawa ada seorang lelaki telah berjumpa
Sayyidina 'Uthman ibn 'Affan kerana suatu hajatnya, tetapi Sayyidina 'Uthman tidak mengalih pandangannya kepada lelaki itu dan tidak melihat
hajatnya. Kemudian, lelaki itu berjumpa 'Uthman ibn Hunayf, lalu dia
mengadu hal itu kepada 'Uthman ibn Hunayf. 'Uthman ibn Hunayf berkata
kepadanya: “Engkau pergilah ke tempat wuduk dan ambillah wuduk.
Kemudian, engkau pergilah ke masjid dan solatlah dua rakaat. Kemudian,
bacalah ((اللَّهُمَّ
إِنِّي أَسْأَلُكَ وَأَتَوَجَّهُ إِلَيْكَ بِنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ نَبِيِّ
الرَّحْمَةِ يَا مُحَمَّدُ إِنِّي أَتَوَجَّهُ بِكَ إِلَى رَبِّي عَزَّ
وَجَلَّ لِتُقْضَى لِي حَاجَتِي)). Kemudian,
engkau sebutlah hajatmu itu dan datanglah kepadaku supaya aku dapat
pergi bersamamu”. Lalu, lelaki itu beredar dan melakukan sebagaimana
yang dikatakan oleh ^Uthman ibn Hunayf kepadanya. Selepas itu, dia
mendatangi Sayyidina 'Uthman ibn 'Affan. Pengawal pintu datang kepadanya
dan memimpin tangan untuk masuk berjumpa Sayyidina 'Uthman ibn 'Affan.
Lelaki itu dipersilakan duduk bersama Sayyidina 'Uthman di atas
hamparan. Kemudian, Sayyidina 'Uthman berkata kepadanya: “Apakah
hajatmu?”. Lalu, lelaki itu menyebut hajatnya dan Sayyidina ^Uthman
menunaikan hajat itu untuknya. Sayyidina 'Uthman berkata kepadanya: “Aku
tidak mengingati hajatmu melainkan saat ini”. Kemudian, Sayyidina
^Uthman berkata lagi kepadanya: “Jika engkau ada suatu hajat maka
jumpalah aku”.
Kemudian, lelaki itu keluar dan berjumpa 'Uthman ibn Hunayf,
lalu berkata: “Semoga Allah membalasmu dengan kebaikan, dia tidak pernah
melihat dan tidak mengalih pandangannya kepada hajatku melainkan
setelah engkau mengatakannya (cara solat hajat dengan tawassul nabawi)
kepadaku”. 'Uthman ibn Hunayf berkata: “Aku tidak mengatakannya tetapi
aku telah menyaksikan Rasulullah sallaLlahu 'alayhi wa-sallam
didatangi oleh seorang lelaki buta dan mengadu kepada baginda tentang
kehilangan penglihatannya, lalu baginda bersabda kepadanya; mafhumnya: “Atau engkau bersabar?”.
Kemudian, lelaki buta itu berkata: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku
tidak ada orang yang boleh memimpinku dan hal ini menyusahkanku”. Lalu,
baginda bersabda; mafhumnya: “Engkau datangilah tempat wuduk dan ambillah wuduk. Kemudian engkau solatlah dua rakaat dan berdoalah dengan doa ini (seperti
doa di atas)”. ^Uthman ibn Hunayf berkata: “Demi Allah, kami tidak
berpisah (dari majlis Rasulullah) dan percakapan tidak berlaku lama di
antara kami sehinggalah lelaki tersebut masuk ke dalam majlis kami seolah-olah dia tidak pernah buta pun”. Al-Imam al-Tabrani berkata: “Dan hadis ini sahih”.
Hadis lain yang semakna dengan hadis ini juga diriwayatkan
dan disahihkan oleh al-Imam al-Tirmidhi dalam kitab sunannya, al-Hakim
dalam kitab al-Mustadrak, dan Ibn Majah. Al-Imam al-Tirmidhi berkata:
"Hadis hasan sahih gharib" dan al-Imam al-Hakim berkata: "Ini hadis yang
sahih isnad".
Hadis ini adalah salah satu dalil daripada dalil-dalil yang mengharuskan tawassul dengan para nabi dan para solihin. WaLlahu a'lam.
[1] Al-Mu^jam al-Kabir, Awqaf Baghdad, Baghdad, juz. 9, hlm. 17 – 18.
0 komentar:
Posting Komentar