Sayyid Muhammad ibn Alwi al-Maliki Tentang Maulid (1) - infoblogmu.com
Headlines News :
Home » , , , » Sayyid Muhammad ibn Alwi al-Maliki Tentang Maulid (1)

Sayyid Muhammad ibn Alwi al-Maliki Tentang Maulid (1)

Written By radjie ahmad on Rabu, 22 Februari 2012 | 18.58

Berikut kami temukan kitab terjemah dari karangan al-‘Allamah asy-Syaikh as-Sayyid Muhammad bin ‘Alwi bin Abbas bin Abdul Aziz al-Maliki al-Hasani berjudul “Holal Ihtefaal Bezikra-al Moulidin Nabawee al-Shareef”
(حول الاحتفال بذكرى المولد)
Dari sumber di sini: http://al-fanshuri.blogspot.com/
Tulisan asli di web sumber ada berjilid-jilid. Tulisan sangat panjang, maka berkonsentrasilah.

Sekitar Peringatan Maulid Nabi Yang Mulia صلى الله عليه وسلم

Mengapa Kita Memperingati Maulid Nabi صلى الله عليه وسلم?

Banyak pendapat telah disuarakan dari segi hukum mengenai memperingati maulid junjungan kita Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم. Bagaimana pun tidaklah menjadi tujuan saya yang utama untuk membahaskan soal ini, karena apa yang sering saya fikirkan dan difikirkan oleh para cendikiawan, adalah mengenai masalah-masalah yang jauh lebih penting daripada perkara ini. Tetapi oleh karena desakan para shahabat yang ingin mengetahui pendapat saya dalam hal ini dan karena saya takut terdiri dalam golongan mereka yang menyembunyikan ilmu pengetahuan, maka saya menuliskan risalah ini dengan harapan agar Allah Ta’ala mengarahkan kita semua ke jalan yang benar. آمين
Sebelum saya membentangkan dalil-dalil saya mengenai mengadakan sambutan Maulid Nabi صلى الله عليه وسلم, saya suka menjelaskan di sini beberapa perkara:-
Pertama: Kami mengatakan harus memperingati maulid baginda صلى الله عليه وسلم dan harus berkumpul untuk mendengar sirah Rasulullah صلى الله عليه وسلم, bershalawat kepadanya, mendengar qasidah-qasidah yang memujinya, mengadakan jamuan makan, yang mana semua ini akan menimbulkan kegembiraan dan ketenangan di hati sanubari kaum muslimin.
Kedua: Kami tidak mengatakan sunnah memperingati maulid baginda صلى الله عليه وسلم, pada malam tertentu sahaja, malah siapa yang mengi’tiqadkan sedemikian, sebenarnya dia telah membuat satu bid’ah didalam agama. Sebab mengingati dan menghayati sejarah صلى الله عليه وسلم itu adalah wajib dilakukan pada setiap waktu dan masa dengan sepenuh jiwa.
Memang benar, memperingati maulid baginda صلى الله عليه وسلم pada bulan keputeraannya merupakan seruan yang lebih kuat dalam mengumpulkan lebih ramai umat Islam untuk menghadiri majlis-majlis tersebut. Ini akan meninggikan lagi syiar Islam, menghubungkan kisah-kisah zaman dahulu dengan zaman kini, dan mendatangkan manfaat bagi mereka yang tidak hadir daripada mereka yang hadir.
Ketiga: Kumpulan-kumpulan seperti ini merupakan satu perantaraan dan peluang emas untuk berdakwah. Kesempatan ini harus tidak diabaikan, terutama sekali apabila menjadi satu kewajipan bagi para pendakwah dan para ulama untuk mengingatkan umat Islam tentang riwayat hidup Rasulullah صلى الله عليه وسلم, mengenalkan mereka tentang akhlaq, pergaulan, ibadah baginda serta mengajak mereka kepada kebaikan, dan menjauhkan diri mereka daripada bencana, bid’ah dan fitnah.

Dalil-dalil Yang Mengharuskan Memperingati Maulid Nabi صلى الله عليه وسلم

Dalil Pertama

Bahawa memperingati maulid Nabi صلى الله عليه وسلم, melambangkan satu kegembiraan dan kebahagiaan terhadap junjungan kita Rasulullah صلى الله عليه وسلم . Malah orang kafir (abu Lahab) juga mendapat manfaat dengan kegembiraan ini.(1)
Telah disebutkan di dalam kitab al-Bukhari, bahawa Abu Lahab telah diringankan siksaannya pada tiap-tiap hari Itsnin karena ia telah membebaskan hambanya Tsuwaibah, apabila hambanya itu membawa khabar akan keputeraan Nabi صلى الله عليه وسلم.
Hal ini juga diterangkan dalam sebuah syair al-Hafiz Syamsuddin Muhammad Nasiruddin ad-Dimasyqi:-
إِذَكَانَ هَذَا كَافؤرًا جَاءَ ذَمُّهُ * بِتَبَّتْ يَدَاهُ فِيْ الجَحِيْمِ مُخَلَّدًا
أَتَى أَنَّهُ فِيْ يَوْمٍ الإِثْنَيْنِ دَائِمًا * يُخَفَّفُ عَنْهُ لِلسُّرُوْرِ بِأَحْمَدَا
فَمَا الظَّمُّ بِالعَبْدِ الذَّيْ كَانَ عُمْرُهُ * بِاَحْمَدَ مَسْرُوْرًا وَمَاتَ مُوَحِّدَا

Artinya:
Jikalau sikafir ini (Abu Lahab) yang telah datang cercaan Allah kepadanya (di dalam surah al-Masad) dan celakalah kedua tangannya didalam neraka selama-lamanya
Telah datang (khabar) sesungguhnya dia pada setiap Isnin sentiasa diringankan (azab siksa) darinya karena kegembiraan dengan kelahiran Muhammad (صلى الله عليه وسلم)
Maka tidak syak lagi, bagi seorang hamba yang sepanjang hayatnya bergembira dengan Muhammad (صلى الله عليه وسلم) dan mati dalam keadaan mengesakan Allah (sudah tentu mendapat kelebihan melebihi daripada apa yang dikurniakan kepada Abu Lahab)
Kisah ini diriwayatkan didalam Shahih al-Bukhari, bab nikah dan dinukilkan oleh Ibn Hajar di dalam kitabnya al-Fath. Juga diriwayatkan oleh Imam Abdurrazak as-San’ani didalam kitabnya al-Musannaf (jilid 7 mukasurat 478), al-Hafiz didalam kitabnya al-Dala’il, Ibn Katsir di dalam kitabnya, al-Bidayah bab as-Sirah an-Nabawiyyah (jilid 1 mukasurat 224). Ibn ad-Daiba asy-Syaibani didalam kitabnya Hada’iq al-Anwar (jilid 1, mukasurat 134), Imam Hafiz al-Baghawi didalam kitabnya Syarah Sunnah (jilid 9 mukasurat 76), Ibn Hisyam dan as-Suhaili didalam al-Raudh al-Unuf (jilid 5 mukasurat 192), al-Amiri didalam kitabnya Bahjatul Mahaafil (jilid 1 mukasurat 41).
Imam al-Baihaqi berkata, bahawa walaupun hadits ini hadits mursal, tetapi ia boleh diterima karena telah dinaqalkan oleh Imam al-Bukhari hadits ini di dalam kitabnya. Para ulama yang telah disebutkan tadi, juga sependapat menerima hadits ini karena perkara itu terdiri dari bab manaqib dan khosois (keistimewaan), fadhoil (kelebihan) dan bukannya perkara berkaitan hal hukum halal dan haram. Para penuntut ilmu agama tentu sekali tahu perbezaan istidlal (pengambilan dalil) dengan hadits pada bab manaqib atau ahkam.
Berkenaan dengan manfaat seorang kafir daripada amal perbuatannya sendiri, banyak ulama telah membahaskannya. Tetapi tidak dapat saya terangkan sepenuhnya disini. Asalnya adalah apa yang disebutkan di dalam kitab al-Bukhari berkenaan dengan Abu Thalib mendapat keringanan siksa disebabkan doa Rasulullah صلى الله عليه وسلم.

Dalil Kedua

Nabi صلى الله عليه وسلم sendiri memuliakan maulidnya, dan bersyukur kepada Allah Ta’ala pada maulidnya, diatas nikmat dan kelebihan yang besar yang telah diberikan Allah ke atas wujudnya di alam semesta ini, yang membawa kebahagiaan pula kepada segala yang maujud diatas mukabumi ini.
Baginda صلى الله عليه وسلم memuliakan maulidnya juga dengan berpuasa. Hal ini diterangkan oleh sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Abu Qatadah:
أَنَّ رَسُوْلَ الله صَلى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ سُئِلَ عَنْ صَوْمِ يَوْمِ الإِثْنَيْنِ، فَقَالَ: فِيْهِ وُلِدْتُ، وَفِيْهِ أُنْزِلَ عَلَيَّ (رواه الإمام مسلم في الصحيح في كتاب الصيام)
Artinya: Nabi صلى الله عليه وسلم pernah ditanya akan sebab baginda berpuasa pada hari Itsnin. Baginda menjawab: Pada hari itu aku diputerakan, dan pada hari itu juga wahyu turun kepadaku.” (Hadits riwayat Muslim; Bab Puasa)(2)
Ini jelas menunjukkan bahawa Nabi صلى الله عليه وسلم pernah menyambut maulidnya. Cuma bentuknya sahaja berlainan, namum haqiqatnya sama, iaitu samada disambut dengan berpuasa, atau mengadakan jamuan makan atau berkumpul untuk mengingati baginda atau bershalawat ketas baginda ataupun mendengar ajaran-ajaran, pesanan-pesanan dan petunjuk dari baginda صلى الله عليه وسلم.

Dalil Ketiga

Sesungguhnya bergembira dengan Baginda صلى الله عليه وسلم dituntut melalui perintah Al-Quran dari firman Allah Ta’ala :
قُلْ بِفَضْلِ ٱللَّهِ وَبِرَحْمَتِهِ فَبِذَلِكَ فَلْيَفْرَحُواْ…
Artinya: “Katakan (wahai Muhammad), dengan kurnia Allah dan rahmatNya, hendaklah dengan itu mereka bergembira …” (Surah Yunus:58 )
Maka Allah Ta’ala lah yang memerintahkan kita untuk bergembira dengan rahmat, dan Nabi صلى الله عليه وسلم sebesar-besar rahmat. Allah Ta’ala telah berfirman :
وَمَآ أَرْسَلْنَاكَ إِلاَّ رَحْمَةً لِّلْعَالَمِينَ
Artinya: “Dan tidak Kami utuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan sebagai rahmat untuk semesta alam”. (al-Anbiya:107)
Dan dikuatkan lagi tafsiran ini, pakar dalam pentafsiran al-Quran, hibrul ummah wa turjumaanul Quran al-Imam Ibn Abbas رضي الله عنهما. Abu Syeikh meriwayatkan dari Ibn Abbas رضي الله عنهما pada membicarakan ayat di atas beliau telah berkata: فصل الله ialah ilmu, manakala ورحمته adalah Muhammad صلى الله عليه وسلم. Allah telah berfirman: وَمَآ أَرْسَلْنَاكَ إِلاَّ رَحْمَةً لِّلْعَالَمِينَ “Dan tidaklah kami utuskan engkau melainkan sebagai rahmat kepada sekalian alam.”(3)
Maka kegembiraan dengan baginda صلى الله عليه وسلم adalah dituntut pada setiap waktu, pada setiap nikmat, dan pada setiap keutamaan, tetapi dikuatkan lagi tuntutan ini pada setiap hari itsnin dan setiap kali bulan Rabi’ul Awwal. Ini adalah karena kuatnya kesesuaiannya serta bertepatan dengan waktunya.

Dalil Keempat

Sesungguhnya Nabi صلى الله عليه وسلم selalu mengambil kira ikatan masa, dengan peristiwa-peristiwa besar dalam agama yang telah berlalu sebelumnya. Apabila datangnya masa berlakunya peristiwa tersebut ia menjadi peluang bagi mengingatinya dan membesarkan hari tersebut karena peristiwa tersebut.
Nabi صلى الله عليه وسلم sendiri telah menetapkan kaedah ini seperti mana dijelaskan dalam hadits shahih bahawa ketika baginda berhijrah ke Madinah, baginda mendapati orang Yahudi berpuasa pada hari Asyura’. Lalu baginda bertanya mereka. Mereka lalu menjawab: itulah hari Fir’aun ditenggelamkan dan Musa diselamatkan. Maka kami berpuasa sebagai bersyukur kepada Allah Ta’ala. Maka Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam:
نَحْنُ أَوْلَى بِمُوسَى مِنْكُمْ
Artinya: Kami lebih layak bagi Musa daripada kalian. Maka baginda pun berpuasa dan memerintahkan sahabat berpuasa.(4)

Dalil Kelima

Bahawa menyambut maulid Nabi صلى الله عليه وسلم membawa kita bershalawat dan mengucapkan salam kepada Nabi صلى الله عليه وسلم, yang mana hal ini sangat dituntut sebagimana firman Allah Ta’ala:
إِنَّ ٱللَّهَ وَمَلاَئِكَـتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى ٱلنَّبِيِّ يٰأَيُّهَا ٱلَّذِينَ آمَنُواْ صَلُّواْ عَلَيْهِ وَسَلِّمُواْ تَسْلِيماً
Artinya: Sesungguhnya Allah dan MalaikatNya bershalawat ke atas Nabi. Wahai orang-orang yang beriman shalawatlah keatasnya dan salamlah dengan sebaik-baik salam.” (Surah al-Ahzab:56)
Apa yang berasaskan sesuatu yang dituntut oleh syara’, maka ia turut dituntut oleh syara’. Malah shalawat ke atas baginda صلى الله عليه وسلم mempunyai faedah yang tidak terkira banyaknya, dimana pena ini tidak sanggup menghitung kesan-kesan nuraninya yang menyelubungi orang yang bershalawat dan salam itu.

Dalil Keenam

Sesungguhnya sambutan Maulid Nabi صلى الله عليه وسلم dipenuhi dengan memperingati keputeraan baginda yang mulia. Pada sambutan itu kita kan diingatkan dengan mukjizat-mukjizat baginda, sirah baginda agar kita akan lebih mengenali baginda صلى الله عليه وسلم.
Bukankah kita diperintahkan untuk mengenali, mencontohi jejak langkah, mengikuti amalan, dan beriman dengan mukjizat serta membenarkan segala keterangan/tanda-tanda baginda? Dan kitab-kitab maulid banyak memaparkan semua ini.

Dalil ketujuh

Dengan mengadakan sambutan Maulid ini juga sebagai melaksanakan sebahagian kewajipan kita dengan menerangkan sifat-sifat baginda yang sempurna, dan akhlak-akhlak baginda yang mulia.
Diriwayatkan, para penyair datang kepada Rasulullah صلى الله عليه وسلم lalu melantunkan bacaan qasidah-qasidah mereka (memuji baginda) dan baginda meredhai perbuatan mereka seraya memberi ganjaran dengan perkara-perkara yang baik seperti mendoakan mereka.(5)
Kalaulah baginda صلى الله عليه وسلم redha sesiapa yang memuji Baginda, bagaimana mungkin baginda tidak redha atas mereka yang menghimpunkan segala sifat baginda yang mulia. Maka ia merupakan suatu perkara yang dapat mendekatkan diri kepada baginda صلى الله عليه وسلم dengan melakukan perkara yang membuatkan kita memperolehi kecintaan dan keredhaannya.

Dalil Kedelapan

Sesungguhnya mengetahui sifat-sifat, mukjizat-mukjizat dan ciri-ciri baginda صلى الله عليه وسلم membawa kepada kesempurnaan iman dan kecintaan kepada baginda. صلى الله عليه وسلم Hal ini karena tabiat semulajadi manusia adalah menyukai sesuatu yang indah, dalam bentuk baik dari segi rupa mahupun akhlak, ilmu mahupun amalan, keadaan mahupun dan kepercayaan.
Dan tiadalah yang lebih terindah, sempurna dan utama dari akhlak dan sifat-sifat baginda صلى الله عليه وسلم. Menambahkan kecintaan kepada baginda صلى الله عليه وسلم serta kesempurnaan iman amatlah dituntut oleh syara’, dan apa yang boleh membantu menyuburkan keduanya, maka ianya jua dituntut oleh syara’.

Dalil Kesembilan

Mengagungkan baginda صلى الله عليه وسلم dituntut oleh syara’. Manakala bergembira dengan maulid baginda صلى الله عليه وسلم dengan menzahirkan kegembiraan dengan mengadakan jamuan, mengumpulkan masyarakat untuk berzikir, dan memuliakan fakir miskin merupakan antara cara yang paling jelas dalam mengagungkan, memuliakan, bergembira dan bersyukur kepada Allah, karena hidayahNya yang menunjukkan kita kepada agamaNya yang mulia, dan apa-apa anugerahNya kepada kita dengan mengutus Nabi عليه أفضل الصلاة والتسليم.

Dalil Kesepuluh

Dari sabda Nabi صلى الله عليه وسلم berkenaan dengan hari Juma’at dan menyenaraikan keistimewaannya:
وفيه خُلق آدم
Artinya: “Dan padanya (Jumaat) dijadikan Adam”.
Dipetik daripada hadits ini kemuliaan sesuatu waktu yang padanya ditsabitkan kelahiran mana-mana Nabi عليهم السلام. Maka bagaimana pula dengan hari yang mana padanya dilahirkan Nabi yang paling utama dan Rasul yang paling mulia?
Dan kemuliaan hari tersebut bukanlah dikhususkan pada hari tersebut sendiri, tetapi ia mempunyai sifat yang umum, yang mana sentiasa diulang-ulang kemuliannya setiap kali sampai hari tersebut, seperti kemuliaan hari Jumaat.
Ini adalah sebagai mensyukuri nikmat, menunjukkan keistimewaan kenabian serta menghidupkan peristiwa-peristiwa sejarah yang amat penting. Begitu juga sebagaimana yang kita dapati mulianya tempat lahir seorang Nabi, sebagaimana Jibril menyuruh Rasulullah صلى الله عليه وسلم bershalat dua rakaat diBaitullaham (sewatu peristiwa isra’ dan mi’raj), kemudian dia (Jibril عليه السلام) memberitahu kepada Nabi dengan katanya:
أَتَدْرِيْ أَيْنَ صَلَّيْتَ؟ قَالَ: لاَ. قَالَ: صَلَّيْتَ بِبَيْتِ لَحْمٍ حَيْثُ وُلِدَ عِيْسَى
Artinya: Tahukah engkau, dimana engkau bershalat? Jawab Rasulullah: Tidak! Berkata Jibrail: Telah bershalat engkau di Baitullaham, tempat ‘Isa dilahirkan.
Kisah ini telah disebutkan dalam sepotong hadits riwayat Syaddad bin Aus yang diriwayatkan al-Bazzar dan Abu Ya’la juga at-Thabrani. Berkata al-Hafidz al-Haitsami didalam kitabnya Majma’ az-Zawaid jilid 1 mukasurat 47, rijalnya adalah rijal yang shahih. Dan telah menaqalkan kisah ini oleh al-Hafidz Ibn Hajar didalam kitabnya al-Fath (jilid 7 mukasurat 199) dengan tanpa komentar.

Dalil Kesebelas

Bahawasanya sambutan maulid ini adalah satu perkara yang dipandang baik oleh para ulama dan kaum muslimin di seluruh pelusuk negeri. Malah ianya telah diamalkan di merata dunia Islam. Ianya adalah dituntut dari segi syara’ berdasarkan kaedah yang dipetik dari sebuah hadits yang mauquf dari Ibn Mas’ud yang berkata:
مَارَآهُ المُسْلِمُوْنَ حَسَنًا فَهُوَ عِنْدَاللهِ حَسَنٌ ، وَمَارَآهُ المُسْلِمُوْنَ قَبِيْحًا فَهُوَ عِنْدَاللهِ قَبِيْحٌ – أخرجه أحمد
Artinya: “Apa-apa yang dipandang oleh kaum Muslimin sebagai perkara yang baik, maka ia baik di sisi Allah. Dan apa-apa yang dipandang oleh kaum Muslimin sebagai perkara yang buruk, maka ia adalah buruk disisi Allah (Hadits ini dikeluarkan oleh Imam Ahmad)

Dalil Keduabelas

Bahawasanya sambutan maulid dipenuhi dengan perhimpunan untuk berzikir, sedekah, serta mengucapkan pujian dan penghormatan kepada Nabi. Semua ini adalah sunnah, dan amat dituntut dari segi syara’. Tidak sedikit hadits-hadits yang shahih yang menekankannya dan mendorong kaum Muslimin mengamalkannya.(6)

Dalil Ketigabelas

Allah Ta’ala telah berfirman:
وَكُـلاًّ نَّقُصُّ عَلَيْكَ مِنْ أَنْبَاءِ ٱلرُّسُلِ مَا نُثَبِّتُ بِهِ فُؤَادَكَ
Artinya: “Dan tiap-tiap berita dari berita rasul-rasul itu, Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) untuk menguatkan hatimu dengannya” (Surah Hud:120)
Di sini jelas bahawa hikmah kisah-kisah para rasul disebutkan di dalam al-Quran adalah untuk mengukuhkan hati Baginda yang mulia. Dan tidak syak lagi, pada hari ini, kita amatlah memerlukan kepada pengukuhan hati dengan berita dan cerita Baginda صلى الله عليه وسلم, malah keperluan kita tentulah lebih kuat lagi berbanding keperluan baginda tadi.

Dalil Keempatbelas

Bukan semua perkara yang tidak dilakukan oleh para salaf dan segala yang tidak pernah berlaku pada kurun-kurun awal Islam adalah bid’ah sayyi’ah yang diingkari dan haram melakukannya serta wajib diingkari. Inilah perkara yang selalu tidak difahami oleh mereka yang mengharamkan sambutan ini.
Sebenarnya perkara yang dibarukan dalam agama harus dipandang dan diukur dari segi dalil-dalil syara’. Maka, perbuatan yang mengandungi maslahat (kebaikan) maka ia wajib, jika mengandungi perkara haram maka ia haram. Begitulah juga jika mengandungi perkara makruh ia menjadi makruh, mengandungi perkara harus ia menjadi harus, dan jika mengandungi perkara yang mandub maka ia jua mandub. Dan (menurut kaedah fiqh) bagi semua wasilah sama hukumnya dengan sesuatu tujuan. (وللوسائل حكم المقاصد).
Seterusnya para ulama’ telah membahagikan bid’ah kepada 5 bahagian (sesuai dengan hukum taklifi yang 5 – wajib, mandub, makruh, haram dan harus).
* Wajib: Seperti menolak perbuatan orang-orang yang menyeleweng daripada jalan yang benar dan mempelajari ilmu nahwu
* Mandub: Seperti mengadakan sekolah-sekolah, madrasah, azan di atas menara dan perbuatan baik yang tidak dilakukan pada masa dahulu
* Makhruh: Seperti menghiasi masjid dan juga mushhaf
* Mubah: Seperti menggunakan tapis dan berlebihan makan-minum
* Haram: Seperti apa-apa yang diadakan, bersalahan dengan sunnah dan tidak mempunyai dalil-dalil syara’ yang am, juga tidak meliputi maslahat dari segi syara’.

Dalil Kelimabelas

Bukanlah semua bid’ah itu adalah diharamkan. Jika demikian haramlah perbuatan Sayyidina Abu Bakar, Sayyidina Umar dan Sayyidina Zaid رضي الله عنهم, mengumpulkan al-Quran dan menulisnya didalam mushaf, karena ditakuiti al-Quran itu hilang setelah matinya para shahabat yang yang alhi dalam membaca al-Quran.
Dan haramlah, Sayyidina Umar رضي الله عنه ketika beliau menghimpun yang bersembahyang tarawikh untuk dilakukan secara berjemaah dengan seorang iman. Beliau berkata:
نِعْمَتِ البِدْعَةُ هذِهِ
Artinya: Alangkah eloknya bid’ah ini.
Nescaya haramlah mengarang kitab-kitab ilmu yang manfaat. Jika demikian, maka wajib kita berperang dengan orang kafir dengan lembing dan panah, sedangkan mereka menetang kita dengan peluru, meriam, kereta kebal, jet pejuang, kapal selam dan senjata-senjata yang lain.
Nescaya haramlah azan diatas menara, membuat sekolah-sekolah, asrama-asrama, hospital, tempat-tempat pertolongan cemas, rumah anak yatim dan penjara.
Oleh karena itu, para ulama رضي الله عنهم telah menentukan hadits: كُلُّ بِدْعَةٍ ضَلاَلَةٌ – artinya: Tiap-tiap bid’ah itu menyesatkan – dengan bid’ah sayyiah (bid’ah yang jahat), dan mereka ulama telah menghuraikan hadits tersebut karena sepeninggalan Rasulullah صلى الله عليه وسلم banyak diantara shahabat terkemuka dan para pemimpin tabi’in, yang mengadakan hal-hal baharu yang mana ianya pada masa hidup Rasulullah صلى الله عليه وسلم tidak pernah diadakan.(7)
Kita sekarang banyak melakukan perkara-perkara yang tidak dilakukan oleh para salaf. Antaranya diadakan tahajjud berjemaah selepas shalat tarawikh pada akhir malam dengan satu imam, mengkhatam al-Quran dalam shalat tersebut, membaca doa khatam al-Quran dan imam berkhutbah ketika shalat tahajjud (8 ) dalam shalat tahajjud pada malam 27 Ramadhan. Dan seruan muazzin untuk mendirikan shalat tahajjud dengan katanya:
صَلاَةُ القِيَامِ أَثَابَكُمُ اللهِ
Artinya: Marilah shalat tahajjud, semoga Allah memberikan balasan pahala kepada kamu.
Semua ini tidak dilakukan oleh Nabi صلى الله عليه وسلم , juga walau seorang dari kalangan ahli salaf. Adakah semua ini bid’ah yang menyesatkan???

Dalil keenambelas

Memperingati maulid Nabi صلى الله عليه وسلم sekalipun tidak dilakukan pada zaman Nabi صلى الله عليه وسلم, adalah bid’ah hasanah karena termasuk dibawah dalil-dalil syara’ dan kaedah-kaedah yang umum. Ianya dikira sebagai bid’ah karena dilaksanakan secara bermasyarakat dan bukannya secara individu karena amalan ini pernah dilakukan secara individu pada zaman Nabi صلى الله عليه وسلم, sebagaimana tersebut pada dalil yang kedua belas.

Dalil Ketujuhbelas

Perkara-perkara yang tidak dilakukan oleh generasi salaf dalam bentuk kemasyarakatan tetapi diamalkan secara perseorangan /individu, dituntut oleh syara’ untuk diamalkan. Apa yang telah tersusun dari segi syara’, dituntut untuk diamalkan. Perkara ini amat jelas dan tidak boleh diingkari oleh sesiapa pun.

Dalil Kedelapanbelas

Telah berkata Imam Syafie رضي الله عنه :
مَا أُحْدِثَ وَخَالَفَ كِتَاباً أَوْ سُنَّةً أَوْ إِجْمَاعًا أَوْ أَثَراً فَهُوَ البِدْعَةُ الضَّالَّةُ ، وَمَا أُحْدِثَ مِنَ الخَيْرِ وَلَمْ يُخَالِفْ شَيْئاً مِنْ ذلِكَ فَهُوَ المَحْمُوْدُ
Artinya: “Suatu perkara yang diadakan dan ia bercanggah dengan kitab, sunnah, ijma’ atau atsar, maka ia adalah bid’ah yang sesat. Dan suatu yang diadakan dari perkara kebaikan dan tidak bercanggah dengan sesuatu dari yang disebutkan tadi, maka ia adalah terpuji”
Malah Imam al-Izz bin Abdussalam, Imam An-Nawawi dan juga Imam Ibnul Atsir telah mengkategorikan bid’ah kepada 5 bahagian seperti mana yang telah kita sebutkan sebelum ini.

Dalil Kesembilanbelas

Setiap perkara kebaikan yang diliputi olehnya dalil-dalil syara’, dan tidak bertujuan untuk mereka satu perkara yang baru yang bercanggah dengan syariat, serta tidak mengandungi perkara mungkar, maka ia termasuk dalam agama.
Kata-kata mereka yang taksub bahawa perkara ini tidak pernah dilakukan oleh salaf, bukanlah satu dalil bagi mereka, tetapi dinamakan tiada dalil. Perkara ini amat jelas bagi mereka yang mempelajari dan menyelami ilmu usul fiqh. Malah syari’ telah menamakan bid’ah yang baik sebagai sunnah dan dijanjikan pahala bagi pembuatnya, berdasarkan hadis Nabi صلى الله عليه وسلم:
مَنْ سَنَّ فِيْ الإِسْلاَمِ سُنَّةً حَسَنَةً فَعُمِلَ بِهَا بَعْدَهُ كُتِبَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِ مَنْ عَمِلَ بِهَا وَلا َيَنْقُصُ مِنْ أُجُوْرِهِمْ شَيْءٌ
Artinya: Barangsiapa yang memulakan perkara dalam Islam suatu sunnah yang baik, maka dia akan diberi pahala bagi perbuatannya, serta pahala mereka yang mengikutinya, tanpa dikurangkan sedikit pun darinya.

Dalil Kedua puluh

Sesungguhnya sambutan maulid merupakan satu bentuk menghidupkan kembali peringatan kepada Nabi صلى الله عليه وسلم. Dan ingatan ini adalah sesuatu yang disyariatkan di sisi kita dalam Islam.
Lihatlah berapa banyak ibadat dalam Islam yang disyariatkan oleh Allah untuk menghidupkan ingatan kita kembali kepada peristiwa sejarah lampau. Misalnya dalam amalan haji, disyariatkan sa’ie antara Safa dan Marwah serta melontar jamrah, serta menyembelih binatang di Mina. Semua perkara ini merupakan peristiwa lampau yang dikuatkan kembali ingatan tersebut dengan cara membaharukan kembali gambarannya dengan kenyataan. Dalilnya, sebagaimana firman Allah:
وأذِّن في الناس بالحج
Artinya: “Dan serulah manusia mengerjakan haji” (Surah al-Hajj:27).
Dan firman Allah Ta’ala, cerita Nabi Ibrahim dan Ismail عليهما السلام:
وأرنا مناسكنا
Artinya: Dan tunjukkanlah kepada kami tempat-tempat ibadah kami” (Surah al-Baqarah: 128 )

Dalil Kedua Puluh Satu

Setiap apa yang kita nyatakan sebelum ini daripada wajah, dalil serta hujah pensyariatan sambutan Maulid Nabi صلى الله عليه وسلم adalah pada sambutan yang bersih dari perkara-perkara mungkar yang dikeji yang perlu kita ingkari. Jika sambutan tersebut mempunyai perkara-perkara yang mungkar seperti percampuran antara lelaki dan perempuan, melakukan perkara-perakra yang haram, pembaziran dan apa jua yang tidak akan diredhai oleh sohibul maulid صلى الله عليه وسلم sendiri, maka tidak syak lagi pengharamannya dan tegahan padanya karena ia mengandungi perbuatan yang haram. Oleh itu tegahan ini adalah perkara yang mendatang (‘aridh) bukan zat sambutan itu sendiri. Sesiapa yang meneliti perkara-perkara ini tentu jelas sekali.
.
__________________________________________________________
Catatan kaki:
1) al-Hafiz Syamsuddin ibn al-Jazari menyebut didalam kitabnya ‘Urf al-Ta’rif bi Muulid asy-Syarif: قد رؤى أبو لهب بعد موته في النوم، فقيل له: ما حالك؟ فقال: في النار إلا أنه يخفف عني كل ليلة اثنين وأمص من بين إصبعي ماء بقدر هذا، وأشار لرأس أصبعه، وإن ذلك بإعتاق لثويبة عند ما بشرتني برلادة النبي صلى الله عليه وسلم وبإرضاعها له.
Artinya: Bahawa seseorang (yakni Sayyiduna Abbas رضي الله عنه) bermimpi melihat Abu Lahab selepas kematiaannya. Maka dia bertanya tentang keadaannya? Abu Lahab menjawab: Aku berada di dalam neraka tetapi diringankan azabku pada setiap malam itsnin dan aku menghisap air diantara 2 jariku sekadar ini (sambil mengisyaratkan hujung jarinya). Yang demikian itu karena aku membebaskan Tsuwaibah ketika dia mengkhabarkan kepadaku tentang berita gembira mengenai keputeraan Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم dan karena aku telah menyuruhnya menyusukan Muhammad صلى الله عليه وسلم.
Sekiranya Abu Lahab seorang kafir yang dicela di dalam al-Quran mendapat balasan di dalam neraka karena kegembiraannya diats keputeraan Rasulullah صلى الله عليه وسلم apatah lagi perasaan gembira yang lahir dari hati seorang muslim yang mentauhidkan Allah?
2) Asy-Syeikh Dr Isa bin Abdullah Mani’ al-Himyari menyatakan di dalam Bulugh al-Ma’mul fi al-Ihtifa’ wa al-Ihtifal bi Maulid ar- Rasul, nash ini menunjukkan dengan jelas tetnag keharusan menyambut maulid Nabi صلى الله عليه وسلم dan pada hadits ini tiada ihtimal yang lain.
Beliau berkata melalui hadits diatas, saya tidak mendapati sebarang jawapan yang menyokong pendapat golongan anti-maulid ini. Malah sekiranya mereka berpegang bahawa sambutan maulid Nabi صلى الله عليه وسلم hanya dibolehkan dengan melakukan ibadah puasa dan tidak boleh dilakukan dengan ibadat lain lain seperti membaca shalawat, membaca sirah Nabi صلى الله عليه وسلم , bersedekah dan sebagainya, maka golongan ini termasuk didalam golongan ahli zahir, yang hanya mengikut buta zahir hadits tanpa merujuk kepada kaedah usul dan mereka mengkhususkan hadits ini tanpa ada dalil yang mengtakhsiskannya.
3) Ad-Durrul Mantsur Juz 3, Halaman 308
4) Hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim dalam kitab sahih mereka. أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قدم المدينة فوحد البهود صياما يوم عاشوراء، فقال لهم رسول الله صلى الله عليه وسلم: ما هذا اليوم الذي تصومونه؟ فقالوا: هذا يوم عظيم أنحى الله فيه موسى وقومه، وغرق فرعون وقومه، فصامه موسى شكرا، فنحن نصومه، فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم: فنحن أحق وأولى بموسى منكم، فصامه رسول الله صلى الله عليه وسلم، وأمر بصيامه.
Artinya: “Sesungguhnya Rasulullah صلى الله عليه وسلم. Setelah sampai ke Madinah, maka baginda mendapati kaum Yahudi sedang berpuasa hari ‘Asyura. Maka baginda bertanya kepada mereka: apakah hari kamu berpuasa ini? Jawab mereka: Iannya adalah hari yang besar, dimana Allah menyelamatkan Musa dan kaumnya dan Allah menenggelamkan Fir’aun dan kaumnya. Maka Musa berpuasa karena bersyukur keatasnya dan kami berpuasa karena bersyukur (diatas ni’mat tersebut). (Mendengar jawapan mereka) maka Rasulullah صلى الله عليه وسلم.pun bersabda: Kami lebih berhak dan lebih utama (memperingati) Musa daripada kalian. Maka Rasulullah صلى الله عليه وسلم. Pun berpuasa dan memerintahkan (shahabat-shahabat baginda) berpuasa (pada hari tersebut).”
Al-Hafiz Ibnu Hajar al-Asqalani menyatakan bahawa perbuatan Rasulullah صلى الله عليه وسلم. Memuliakan hari Nabi Musa diselamatkan, menunjukkan bahawa menyambut maulid Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم. Adalah disyariatkan di dalam Islam, sebagaimana di dalam fatwanya yang dinaqalkan oleh al-Hafiz as-Sayuthi di dalam Husn al-Maqasid fi ‘Amal al-Maulid. (Sila lihat al-Hawi al-Fatawa) Beliau menyatakan, dari dalil diatas dapat diambil pengajaran bahawa:
a) Hendaklah kita bersyukur di atas kurniaan Allah yang telah menghapuskan kebathilan dan menegakkan kebenaran
b) Umat Islam dianjurkan supaya memperingati pada setiap tahun hari-hari yang dianggap penting dalam Islam.
Justeru, melahirkan rasa kesyukuran kepada allah boleh terhasil dengan pelbagai cara ibadat sepeti bershalat, bersedekah, membaca la-Quran dan sebaginya. Sesungguhnya apakah nikmat yang lebih besar daripada nikmat dikurniakan seorang Nabi pembawa rahmat kepada kita?
5) Diantara penyair-penyair Rasulullah صلى الله عليه وسلم adalah Sayyiduna Hasan bin Tsabit, Sayyiduna Abdullah bin Rawahah dan Sayyiduna Ka’ab bin Malik رضي الله عنهم .
Satu ketika, Ka’ab bin Zuhair mengubah qasidah pujian untuk baginda صلى الله عليه وسلم . Setelah mendengar pujian disampaikan oleh Ka’ab, Nabi صلى الله عليه وسلم meleaskan burdah (selendang)nya dan memakaikan kepada Ka’ab sebagai hadiah sekaligus sebagai ungkapan bahawa baginda meredhainya.
Baginda Rasulullah صلى الله عليه وسلم juga pernah mendoakan Abdullah bin Rawahah setelah baginda mendengar syair dibacakan oleh Abdullah bin Rawahah. Baginda berdoa:
وأنت، فثبتك الله يا ابن رواحة
Artinya: Dan engkau wahai Abdullah Rawahah, semoga Allah meneguhkanmu. Doak Rasulullah صلى الله عليه وسلم ini membuktikan bahawa baginga senang mendengar syair pujian untuk baginda.
6) Berkumpul untuk melakukan sesuatu yang baik adalah digalakkan berdasarkan kepada sabda Rasulullah صلى الله عليه وسلم
لا يقعد قوم يذكرون الله إلا حفتهم الملآ ئكة وغشيتهم الرحمة ونرلت عليهم السكينة وذكرهم الله فيمن عنده – رواه مسلم
Artinya: Tidak duduk suatu kaum yang berzikir kepada Allah melainkan mereka dikelilingi oleh para malaikat, dicucuri rahmat, diturinkan ketenangan dan Allah meyebut mereka kepada para malaikat yang berada disisiNYA. (Hadits riwayat Imam Muslim)
7) Persoalan ini dibahaskan panjang lebar oleh para ulama. Insyaallah sekiranya diberi kesempatan olehnya, saya akan menulis sedikit tentang persoalan bid’ah serta pembahagiannya menurut pengertian para ulama’ kita.
8 ) Menurut Sayyid Muhammad al-Maliki, perkara ini berlaku di Haramain (Mekah dan Madianh) selama beberapa tahun tetapi telah ditinggalkan. Apa yang berlaku, ketika mereka melakukannya, mereka menyatakan bahawa perbuatan ini adalah baik tetapi apabila mereka meniggalkannya, maka mereka mengatakan bahawa perbuatan itu adalah sesat. Atau dalam erti kata lain, mula-mula perbuatan yang baik tetapi kemudiannya menjadi kemugkaran. Apakah boleh tergambar atau diterima oleh orang yang beraqal warak sesuatu perkara yang sama boleh menjadi baik dan tidak baik.


Artikel terkait
  
Share this article :

0 komentar:

Review Games

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Proudly powered by Blogger
Copyright © 2011. infoblogmu.com - All Rights Reserved
Template Design by Creating Website Published by Mas Template